Tuesday, February 22, 2011

Tunjuk Perasaan: Antara Keadilan dan Penderitaan

Sebelum ini saya berpendapat bahawa tunjuk perasaan yang dilakukan oleh rakyat seperti di Mesir adalah baik kerana dengan cara itu mampu memberikan transformasi kepada sesebuah negara tetapi ke arah kebaikan dan kepentingan rakyat. Sejak berakhirnya demonstrasi tersebut, Mesir sesungguhnya telah mendapat kemerdekaan seperti yang dikehendaki. Namun begitu, tindakan demonstrasi besar-besaran seperti itu telah mempengaruhi banyak pihak daripada negara-negara lain yang selama ini mungkin ditindas tetapi tidak berani bersuara.
Hasil positif yang diperoleh daripada tindakan tersebut adalah Mesir telah menjadi contoh yang baik dalam meningkatkan semangat kebangkitan dan kuasa mutlak rakyat yang bersatu padu. Namun pada hakikatnya hari ini, banyak negara sedang dihimpit peperangan dan tunjuk perasaan yang berunsurkan keganasan sehingga menyebabkan penderitaan dan kematian  rakyat yang tidak berdosa.
            Rakyat negara lain mungkin tidak seperti Mesir yang menunjuk perasaan secara aman tanpa berlakunya tumpah darah, dan begitu juga bekas pemimpinnya yang dahulunya terkenal dengan pemerintahan kuku besi tapi berundur dengan aman akhirnya dan mengikut suara hati rakyat. Sekiranya hal seperti ini terjadi, mungkin keadaan tidak menjadi kacau bilau seperti hari ini dan tiada siapa tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan sekiranya pemberontakan dan penunjuk perasaan secara besar-besaran yang  berunsurkan keganasan dibiarkan berleluasa dan tersebar hingga ke seluruh dunia.
 Kejadian-kejadian seperti ini diharapkan tidak berlaku di negara kita Malaysia tercinta walaupun masih terdapat sisa-sisa yang sekali-sekala cuba membangkitkan huru-hara. Sekiranya kita inginkan kesejahteraan hidup hari ini, jangan biarkan hantu menguasai diri.- Nur Ilham